Monday, November 15, 2010

Orang Kita Malas Membaca

Sudah sekian lama kita dengar rakyat Malaysia terutama golongan muda malas membaca dan tidak suka kepada bacaan ilmiah. Pelbagai kempen telah dijalankan bagi menyuntik semangat dan menambah minat masyarakat untuk membaca bagi memperkaya ilmu seterusnya melahirkan masyarakat intelek dalam mempersiapkan negara dikalungkan gelaran negara maju menjelang tahun 2020.


Jika kita masih ditakuk lama, bimbang nanti negara maju yang lahir dihuni masyarakat yang mundur sedangkan dalam sembilan cabaran Wawasan2020 yang divisikan Dr Mahathir, lapan daripadanya adalah tentang pembangunan masyarakat.

Menurut daripada statistik yang ada, pada tahun 1997 rakyat Malaysia hanya membaca satu muka surat buku setahun dan perbandingannya dengan tahun 2002 menunjukkan tambahan satu muka surat sahaja. Sehingga tahun 2010 masih tiada lagi data terkini selain kajian profil membaca di Perpustakaan Negara tahun 2005 yang menunjukkan rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku sepanjang tahun. Walaubagaimanapun perlu diingat, berdasarkan apa yang saya fahami dari kajian ini adalah kajian dijalankan pada pembaca di Perpustakaan Negara yang mana menunjukkan setiap seorang daripada mereka hanya membaca dua buah buku dalam setahun. Kajian ini tidak termasuk mereka yg tidak membaca langsung. Tidak sukar untuk kita fahami senario ini dengan membuat tinjauan mudah dikalangan orang sekeliling kita. Berapa orangkah yang ada membaca dua buah buku setahun?

Namun kita harus berterima kasih kepada teknologi maklumat kerana bahan bacaan tidak lagi bergantung harap kepada buku semata-mata. Kehadiran laman web, blog, media sosial, dan aplikasi berbentuk multimedia berjaya menyampaikan ilmu dengan cara yang berbeza dan mudah diterima. Walaupun kebanyakannya menjurus kepada bahan bukan ilmiah sekurang-kurangnya masyarakat sudah punya pilihan dalam mendapatkan maklumat.

Sekali lagi saya katakan bahawa kita tidak harus berpuas hati setakat itu sahaja kerana hasrat kita untuk muncul sebagai masyarakat yang mampu bersaing dengan masyarakat negara maju yang ada ketika ini. Kebimbangan sering dizahirkan para ilmuan tentang kurangnya tarikan kepada bahan bacaan ilmiah. Artikel di dada akhbar hanya dibaca golongan yang berminat. Blog yang membincangkan hal serius hanya dilayari oleh mereka yang ingin tahu. Paparan video yang menyentuh isu-isu penting dianggap hasil orang yang tiada kerja.

Perkara yang menarik perhatian adalah berkaitan artis, pelaburan untuk cepat kaya dan cara bagaimana untuk jadi cantik.

Bagi orang Islam, kita tentunya sedar wahyu pertama diturunkan adalah Iqra' yang bermaksud Bacalah! yang menunjukan peri pentingnya ilmu dalam memimpin kehidupan manusia sehingga mengetengahkan kewajipan menuntut ilmu.

Bacalah untuk kemajuan agama, bangsa, dan negara!

Bacalah supaya kita tidak jadi bangsa yang mudah terpedaya!

Saturday, November 13, 2010

Menang, Kalah, dan Kecewa

Seboleh-bolehnya saya tak mahu menulis lagi tentang PKR dalam masa terdekat ini tapi tidak dapat dielakkan kerana parti tersebut terlalu "glamor" ketika ini dan kebanyakan orang yang berminat atau sekurang-kurangnya ambil tahu hal politik semasa, banyak bercakap berkenaan serang menyerang ketika pemilihan rancak berlangsung.

Jujurnya saya sedikit kecewa dengan tindakan Datuk Zaid Ibrahim yang mengundurkan diri daripada persaingan dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden. Lebih kecewa lagi apabila beliau menyalahkan orang lain kerana tewasnya beliau dalam pemilihan terutama kegagalan merapatkan jumlah undi ketika cabang-cabang di Sabah menjalankan pemilihan. Walaupun sememangnya isu ketidaktelusan juga dibangkitkan oleh beberapa calon lain namun pengunduran berkenaan telah meranapkan harapan ahli yang mahukan persaingan yang sihat mengambil tempat dalam pemilihan dengan format yang baru ini.

Dari awal lagi, saya sebenarnya terkejut dengan hasrat beliau untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden kerana beliau merupakan orang baru dalam PKR namun dari segi meritnya, beliau punya kelayakan dan kredibiliti. Visi beliau jelas dalam usaha untuk melakukan reformasi dan transformasi terutama dalam mengembalikan konsep pemisahan kuasa di landasan yang betul. Walaubagaimanapun, seharusnya beliau menempatkan diri dalam jawatan yang kurang kanan berbanding dengan Timbalan Presiden seperti Naib Presiden dan saya percaya beliau layak dan boleh menang untuk jawatan tersebut. Timbalan Presiden terlalu tinggi untuk orang baru, walaupun orang baru itu adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Walaubagaimanapun saya cukup teruja dan tertarik apabila pencalonan yang diterima beliau untuk jawatan tersebut begitu tinggi yang mana menandakan ahli PKR tidak terlalu terkongkong dengan amalan konservatif. Mereka yang mencalonkan beliau tentunya menaruh harapan bahawa beliau merupakan salah seorang pemimpin yang boleh membawa perubahan kepada negara sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menempatkan diri di Putrajaya kelak. Pada saya dengan jumlah pencalonan berkenaan, Datuk Zaid Ibrahim telah menang besar dalam pengaruhnya dalam parti dan sekiranya beliau tidak terpilih menjawat jawatan Timbalan Presiden sekalipun beliau telah punyai pengikut dan penyokong tersendiri dalam parti yang percaya kepada kebolehan beliau. Dalam politik baru sekarang, pengaruh seseorang tidak bergantung pada jawatan beliau dalam parti melainkan parti itu bukan parti progresif yang masih terikat dengan budaya konservatif yang menyesakkan.

Sebagaimana Pas, Pengaruh Datuk Nik Aziz lebih besar dan dilihat gerakannya dipimpin oleh Salahudin Ayub, salah seorang Naib Presidennya. Bagi PKR pula, jika kesemua pemimpin kanannya mempunyai kekuatan masing-masing adalah menjadi satu kekuatan yang besar seperti sebuah jet pejuang yang dilengkapi pelbagai jenis senjata. Boleh bertempur di udara juga bertindak sebagai pengebom yang berbahaya namun jika masing-masing berebut untuk menjadi peluru berpandu, boleh menyebabkan pesawat meletup sendiri sebelum bertempur. Harapan akan lebur bersama debu sisa letupan.

Kesempatan kekalutan ini digunakan oleh pedendam-pedendam yang pernah menjadikan PKR sebagai platform mereka. Menyerang Ketua Umum PKR dan meminta beliau berundur. Saya bukan menyokong DS Anwar Ibrahim saya bersikap realis dalam pandangan saya. Saya tertanya siapakah DS Zahrain Hasyim dan Zulkifli Nordin jika mereka tidak bertanding atas tiket PKR pada pilihanraya umum lalu?

Pilihanraya umum sudah dibayangkan hampir tiba, parti dan gabungan yang masih belum bersedia akan tumpas. Barisan Nasional terutamanya UMNO nampaknya sedang bergerak megah terutamanya kesan momentum 4november.

Rakyat menunggu Harapan Baru, bukan Harapan Palsu!

Tuesday, October 19, 2010

Selamatkah Makanan Kita?

Sering kita dengar penyakit manusia kini berpunca daripada makanan. Kali ini saya tidak menjurus kepada perbincangan biasa tentang keburukan makanan segera dan kesan pengambilan makanan secara berlebihan. Mungkin sudah terlalu biasa dan barangkali sudah terlalu banyak tulisan berkaitan dua topik ini di dada-dada akhbar, juga di makalah yang menempatkan ruangan kesihatan. Kali ini kita bicara dari sudut yang luar pandangan biasa.

Nasihat dari pengamal perubatan kala ini menyarankan supaya kita melebihkan sayuran dan buah-buahan bagi menggantikan makanan yang memberi kesan kurang baik buat tubuh manusia. Makanan berlemak, manis dan mempunyai kandungan perisa tambahan lebih baik diganti dengan tembikai, limau madu, pisang, kobis, bayam, dan ulam-ulaman. Maka makcik-makcik dan kakak-kakak yang dalam proses menurunkan berat badan berbondong-bondong membeli ulam pegaga dan mencari pucuk jambu untuk dijadikan sajian tengahari dan malam menggantikan daging kari dan ayam masak lemak cili api.

Benar, pada asalnya sayuran dan buah-buahan lebih baik dari gulai dan steak tetapi pada masa kini penghasilan keluaran pertanian komersil telah banyak menurunkan kualiti makanan ini.

Penggunaan racun rumpai dan perosak secara tidak terkawal adalah sebab utama kepada pencemaran kualiti sayuran dan buah-buahan kita. Permintaan pasaran juga menyebabkan petani terpaksa menggunakan racun-racun ini bagi memastikan keluaran mereka memenuhi citarasa pengguna. Jika buah mangga mereka kelihatan seperti dirosakkan ulat atau larva dari serangga sudah tentu pulangan yang mereka terjejas dan kadang kala tidak dapat menampung kos pembajaan dan urusan penyeliaan ladang untuk pusingan tersebut. Situasi ini memaksa mereka menjaga penampilan komersil bahan keluaran mereka berbanding kualiti pemakanan makanan ini sekaligus memudaratkan kita sebagai pengguna.

Selain daripada itu, setakat ini sukar untuk badan bertanggungjawab untuk membuat pemantauan secara menyeluruh bagi memastikan penggunaan racun ini terkawal. Petani kadangkala tidak bertanggungjawab dengan membuat aktiviti meracun pada masa yang hampir dengan penuaian hasil malah ada yang dituai hasil selepas disembur racun pada hari sebelumnya. Jumlah racun yang terisisa masih tinggi dan boleh menyebabkan keracunan segera jika tidak dibasuh dengan baik.

Kini pelbagai alternatif telah diambil untuk memperbaiki keadaaan seperti percubaan untuk beralih kepada penanaman secara organik dan perlaksanaan Pengurusan Kawalan Perosak Bersepadu. Langkah baik tetapi masih bergerak terlalu perlahan kerana memerlukan kos yang tinggi dan permintaan yang kurang kerana harganya juga tinggi. Jadi buat masa ini, makanan yang lebih baik ini hanya mampu dimiliki oleh orang kaya tetapi golongan sederhana dan berpendapatan rendah juga boleh menikmatinya dengan cara yang berbeza. Caranya, tanam sendiri!



Tak perlu tanah yang luas juga tak perlu risau tentang pembajaan. Bagi mereka yang punyai halaman boleh sediakan tapak untuk menanam sayuran tetapi juga boleh ditanam didalam pasu. Bukan bunga sahaja yang boleh menceriakan halaman rumah tetapi sayuran juga boleh memberi suasana hijau malah boleh memberi manfaat kepada kita. Menjimatkan wang dan pastinya tidak perlu bimbang residu racun yang membahayakan kesihatan. Perkara yang mudah dilakukan untuk keluarga kita.

Masyarakat yang sihat dapat membangunkan negara!

Sunday, September 26, 2010

Orang Muda dan PKR

Selamat Hari Raya Aildilfitri, Maaf Zahir dan Batin!!..

Kita sudah berada lebih dari separuh bulan Syawal namun kemeriahan masih terasa dengan banyaknya rumah terbuka disini sana. Dengan itu juga, semakin jauh kita meninggalkan Ramadhan yang penuh berkat untuk tahun 1431 Hijrah. Dalam pada itu juga kemeriahan Syawal dihangatkan dengan proses pemilihan pimpinan PKR yang sedang berlangsung.

Pertama sekali, diucapkan tahniah kepada PKR kerana berjaya memulakan satu perubahan yang boleh dijadikan rujukan untuk sebuah parti politik dalam memilih kepimpinan. Saya tidak katakan sebagai contoh untuk diikuti kerana keberkesannya masih dalam peringkat percubaan namun dari segi prinsip demokrasinya, PKR didepan berbanding yang lain. Konsep seorang ahli satu undi dapat mengurangkan kemungkinannya berlaku sogokan dan peluang ahli biasa memilih pemimpin tertinggi mereka belum wujud lagi sebelum ini dalam mana-mana parti politik. Pemilihan kali ini penting bagi PKR kerana merupakan pemilihan bagi menentukan jentera penggerak bagi mengemudi usaha mereka bersama rakan Pakatan yang lain menuju ke Putrajaya.

Pada ketika artikel ini ditulis, pemilihan peringkat cabang(bahagian) sedang rancak berlangsung. Perlumbaan yang paling mendapat perhatian adalah pertandingan bagi merebut kerusi Timbalan Presiden yang dikosongkan oleh penyandangnya, YB Senator Dr Syed Husin Ali yang mengatakan sudah tiba masanya kerusi berkenaan diisi oleh tenaga yang lebih muda. Ada pendapat yang mengatakan bahawa sepatutnya beliau tidak berundur sebelum PRU13 bagi mengelakkan berlakunya keretakan dalam PKR, namun setiap keputusan pastinya telah diteliti sebaiknya oleh beliau sendiri.

Setakat ini juga, terdapat nama-nama besar yang tewas dalam pertandingan di peringkat cabang seperti Mustaffa Kamil Ayub yang tewas dalam perebutan Ketua Cabang Pasir Salak namun dicalonkan oleh cabang berkenaan untuk jawatan Timbalan Presiden oleh cabangnya itu. Tidak ketinggalan Exco Selangor, Elizabeth Wong tewas di Petaling Jaya Utara manakala Ahli Parlimen Teluk Kemang gagal merampas kerusi Ketua Cabang dari penyandangnya. Keputusan ini merupakan satu perkembangan yang menarik untuk diperbincangkan.

Namun apa yang lebih menarik minat saya adalah berkaitan dengan Angkatan Muda Keadilan. Bukanlah calon yang menjadi tarikan tetapi visi dan isu yang dibawa oleh calon-calon yang menyatakan kesediaan untuk bertanding itu merupakan satu pendekatan yang baik. Mereka cuba membawa isu yang dekat dan rapat dengan golongan muda ketika ini contohnya, keupayaan pemilikan rumah(hartanah), masalah muflis, pinjaman pelajaran dan peluang pekerjaan. Usaha untuk membawa isu ini adalah satu strategi politik yang baik kerana boleh membawa golongan rasa terpanggil untuk bersama-sama memperjuangkan isu tersebut dan seterusnya mendapat sokongan politik dari golongan muda. Pendekatan ini merupakan satu cabaran besar buat pemuda Barisan Nasional yang nampaknya belum lagi serius memikirkan masalah golongan muda ketika ini.

Golongan muda ketika ini berdepan dengan pelbagai isu terutama yang berkaitan dengan keperluan hidup. Bagi mereka yang baru mula bekerja, untuk memulakan hidup sebagai seorang dewasa ketika ini begitu mencabar kerana kos hidup yang begitu tinggi. Bagi graduan, selesai saja menamatkan pengajian mereka sudah punya tanggungan hutang pinjaman pelajaran, maka harus mencari pekerjaan secepat mungkin bagi mengelakkan tertunggaknya hutang yang bertambah. Mereka yang terus sahaja terjun ke dunia pekerjaan selepas tamat sekolah menengah atau sijil, mereka juga menghadapi masalah kerana pendapatan yang rendah. Seterusnya melangkah ke ambang perkahwinan yang juga memerlukan belanja yang besar dan kebanyakkan golongan muda terpaksa membuat pinjaman untuk melangsungkan perkahwinan. Terdapat sumber yang mengatakan, setiap tahun terdapat sehingga 30,000 golongan muda yang diisytiharkan muflis kerana hutang bank, kad kredit, dan perumahan.

Golongan muda yang pertengahan pula menghadapi masalah bagi mengembangkan perniagaan, pendapatan yang semakin menguncup kerana tanggungan yang bertambah, kenaikan harga barang keperluan, dan banyak lagi. Kebanyakan masalah ini adalah berkaitan dengan kos hidup individu dan keluarga yang tentunya berkait rapat dengan pengurusan ekonomi negara. Setiap keputusan yang dibuat kerajaan bakal memberi impak kepada masyarakat dan pastinya golongan bawahan dan pertengahan akan paling terkesan. Saya secara peribadi saya kurang bersetuju dengan usaha ketika ini untuk melaksanakan gaji minima kerana pelbagai faktor. Jika perkara ini mahu dilaksanakan, satu kajian mendalam perlu dilakukan kerana merupakan satu tindakan yang mungkin mendatangkan kerugian kepada kaum pekerja pada masa depan. Jika berkesempatan isu ini akan saya bincangkan pada masa akan datang.

Isu-isu yang dekat dengan golongan muda akan menarik golongan muda kepada pejuang-pejuang isu tersebut namun apa yang dihasratkan harus dikotakan. Itulah yang paling utama kerana orang muda mahukan hasilnya, bukan janji yang ditabur.


Tuesday, August 17, 2010

Dinar Kelantan


Kerajaan negeri Kelantan telah memperkenalkan Dinar sebagai alternatif kepada penggunaan wang yang biasa digunakan. Khabarnya beberapa buah pusat perniagaan di Kota Bharu telah bersedia untuk menerima Dinar dalam urusan jual beli. Saya percaya bahawa kerajaan negeri memperkenalkan Dinar ini atas tujuan yang baik namun itu sahaja tidak cukup. Tentunya saya percaya akan kebaikan penggunaan emas sebagai matawang dan sejarah penggunaan jelas.

Kerajaan pusat telah bersuara dan mengatakan bahawa cubaan untuk menggunakan Dinar adalah satu tindakan yang tidak sah dan bertentangan dengan Akta Bank Negara 2009. Walaubagaimanapun pandangan itu disambut berbeza oleh kerajaan negeri yang mengatakan bahawa Dinar bukan matawang tetapi sebagai tukaran untuk pembelian barangan. Namun, bagi saya yang kurang arif ini kedua-duanya kedengaran sama. Dinar mahupun RM kedua-duanya merupakan satu nilai gantian untuk membuat urusan jual beli. Kekeliruan dalam sistem kewangan boleh berlaku kerana wujudnya 2 jenis tukaran. Saya bimbang pihak yang mempromosikan politik baru juga bermain dengan permainan politik yang primitif kerana tindakan menggunakan istilah yang berbeza bagi menghalalkan cara sudah ketinggalan zaman. Perkataan yang berbeza mendukung makna yang sama tetap serupa, perbuatan yang buruk menggunakan perkataan yang lebih manis tidak berkurang jeleknya.

Menghormati bidang kuasa pihak lain adalah tanda keperadaban sesebuah masyarakat. Jika kita terus dengan permaianan ini, kita akan berundur kebelakang. Konsep federalisme perlu dihormati, pusat dan negeri harus mempertahankannya.

Saya tidak fikir pengenalan Dinar ini satu tindakan yang tepat.

Friday, July 9, 2010

BN - PR : Kerajaan - Pembangkang

Secara umumnya, rakyat Malaysia samaada tidak tahu atau sememangnya tak mahu ambil tau tentang perbezaan antara parti dan kerajaan. Istilah kerajaan dan pembangkang telah digunakan secara tidak tepat oleh kebanyakan media menyebabkan pengkisahan tentang parti politik, kerajaan dan konsep demokrasi kita kedengaran begitu melucukan.

Kita sudah terbiasa dengan menganggap BN adalah kerajaan dan parti diluar BN adalah pembangkang. Walaubagaimanapun janganlah sampai kita kedengaran begitu teruk dan kurang berilmu dengan menggunakan istilah "Kerajaan Pakatan Pembangkang". Tiada siapa pun boleh menjadi kerajaan dan pembangkang pada masa yang sama. Ya, BN pada ketika ini merupakan kerajaan persekutuan dan pembangkang adalah selain dari BN samaada Pas, DAP, PKR, ataupun bebas tetapi jangan pula kita lupa BN juga merupakan pembangkang di Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Penulis sentiasa berdepan dengan situasi ini dan ada juga dari kebanyakan rakan-rakan yang menganggap pembangkang seolah-olah suatu kumpulan yang akan merosak dan memporak-perandakan negara. Mereka tidak langsung sedar bahawa pembangkang merupakan entiti penting dalam sistem demokrasi. Penulis rasa tanggungjawab mendidik rakyat dan memperbetulkan persepsi masyarakat dalam hal ini boleh dilakukan dengan baik oleh media.

Barisan Nasional (BN) merupakan gabungan 13 parti yang diketuai UMNO. Parti-parti komponen lain adalah MCA, MIC, Gerakan, PPP, PBB, SUPP, PBS, LDP, PBRS, UPKO, SPDP, dan PRS. Pakatan Rakyat (PR) pula bukanlah sebuah parti rasmi sebagaimana BN tetapi merupakan pakatan 4 buah parti yang terdiri dari Pas, DAP, PKR, dan SNAP. Pada ketika ini kedua-dua gabungan ini bersaing dengan begitu sengit untuk mendapat kepercayaan rakyat untuk membentuk kerajaan.

Di Malaysia, terdapat 3 kerajaan. Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan. Buat masa ini pilihanraya dijalankan untuk memilih wakil rakyat bagi pembentukan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sahaja. Pemilihan untuk wakil Kerajaan Tempatan telah dihentikan suatu masa dulu. Bagi membentuk kabinet dan menguasai kerajaan di peringkat persekutuan, sesuatu parti atau gabungan parti mestilah mengusai majoriti di Dewan Rakyat. Bagi peringkat negeri, sesebuah parti atau gabungan parti mestilah mempunyai majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri untuk membolehkan Menteri Besar atau Ketua Menteri dilantik daripada kalangan mereka. Walaubagaimanapun, bagi kedua-dua kerajaan perlembagaan/undang tubuh negeri tidak menyebut parti tetapi individu yang mendapat sokongan majoriti.



Wednesday, July 7, 2010

Benarkah Kerajaan Tak Buat Apa-apa Untuk Rakyat?

Masyarakat Malaysia semakin kritis terhadap segenap aspek kehidupan. Sesuai dengan perubahan gaya hidup dan peningkatan kualiti perkhidmatan yang wujud, masyarakat Malaysia sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk mereka. Selaras dengan perkembangan ini, tuntutan kepada perkhidmatan dan kemudahan semakin meningkat.

Di Malaysia kebanyakan perkhidmatan dan kemudahan adalah berkaitan dengan kerajaan dan nampaknya kerajaan yang sedia ada terus mahukan senario ini berterusan untuk mengekalkan kebergantungan rakyat kepada kerajaan. Mungkin ada pertimbangan yang baik untuk diteruskan namun pada saya - dengan perubahan sosiologi masyarakat ini - boleh memberi kesan negatif kepada kerajaan. Kegagalan memberikan kemudahan dan perkhidmatan yang diperlukan akan menyebabkan rasa kurang senang kepada kerajaan.

Ketika ini, sudah ada yang berkata "Kerajaan tak buat apa-apa untuk rakyat". Benarkah begitu?

Cuba kita lihat;

1. Seorang ibu yang mahu melahirkan anak di hospital kerajaan - Perkhidmatan doktor, ubatan, dan segalanya di hospital menggunakan bantuan kewangan dari kerajaan.

2. Anak yang baru dilahirkan, disyaratkan untuk membuat suntikan pelalian - Percuma? Tentunya bantuan kerajaan.

3. Bayi sudah menjadi kanak-kanak dan perlu ke sekolah. Belajar di sekolah bantuan kerajaan hanya memerlukan bayaran yuran yang minimum - Peringkat rendah 6 tahun, menengah 5 tahun.

4. Pengajian peringkat tertiari. Pelbagai jenis pengajian disediakan dari Institut Kemahiran sehinggalah ke peringkat Doktor Falsafah malah ada juga yang mendapat tajaan untuk ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran.

5. Untuk kehidupan seharian, pelbagai subsidi dari kerajaan dari beras sehinggalah ke bahan api untuk kenderaan.

6. Bagi rakyat yang kurang berkemampuan, disediakan juga pelbagai bantuan termasuklah bantuan kebajikan, projek perumahan dan bantuan peningkatan ekonomi.

7. Dibawah projek pembangunan pula, pelbagai usaha dilakukan bagi menaiktaraf ekonomi masyarakat terutama di kawasan luar bandar dengan bantuan projek pertanian, perlancongan, IKS dan pelbagai lagi.

8. Belum lagi disenaraikan kemudahan asas yang disediakan oleh kerajaan seperti jalanraya, jambatan, elektrik, bekalan air, dan lain-lain.

Perkara-perkara ini hanya merupakan sebahagian dari usaha-usaha kerajaan. Jadi untuk mengatakan pihak kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk rakyat sama sekali tidak benar. Namun sekali lagi, suka diingatkan rakyat semakin memilih kerana mereka mahukan yang terbaik. Bukan mereka tidak mengenangbudi tetapi mereka merasakan adalah menjadi hak mereka untuk memilih siapa yang lebih layak menjadi kerajaan dan memberi perkhidmatan kepada mereka. Ini merupakan tanda bahawa pemikiran politik rakyat semakin matang.

Jadi mungkin sudah tiba masanya pihak kerajaan bertindak membuka peluang kepada pihak lain untuk menyediakan perkhidmatan daripada menjadi penyedia perkhidmatan itu sendiri. Kita sedia maklum, persaingan penyedia perkhidmatan akan menguntungkan pengguna sepertimana persaingan Maxis, Celcom, Digi dan lain-lain. Pada masa depan kita akan dapat menikmati perkhidmatan yang lebih berkualiti dengan harga yang lebih murah.