Monday, November 15, 2010

Orang Kita Malas Membaca

Sudah sekian lama kita dengar rakyat Malaysia terutama golongan muda malas membaca dan tidak suka kepada bacaan ilmiah. Pelbagai kempen telah dijalankan bagi menyuntik semangat dan menambah minat masyarakat untuk membaca bagi memperkaya ilmu seterusnya melahirkan masyarakat intelek dalam mempersiapkan negara dikalungkan gelaran negara maju menjelang tahun 2020.


Jika kita masih ditakuk lama, bimbang nanti negara maju yang lahir dihuni masyarakat yang mundur sedangkan dalam sembilan cabaran Wawasan2020 yang divisikan Dr Mahathir, lapan daripadanya adalah tentang pembangunan masyarakat.

Menurut daripada statistik yang ada, pada tahun 1997 rakyat Malaysia hanya membaca satu muka surat buku setahun dan perbandingannya dengan tahun 2002 menunjukkan tambahan satu muka surat sahaja. Sehingga tahun 2010 masih tiada lagi data terkini selain kajian profil membaca di Perpustakaan Negara tahun 2005 yang menunjukkan rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku sepanjang tahun. Walaubagaimanapun perlu diingat, berdasarkan apa yang saya fahami dari kajian ini adalah kajian dijalankan pada pembaca di Perpustakaan Negara yang mana menunjukkan setiap seorang daripada mereka hanya membaca dua buah buku dalam setahun. Kajian ini tidak termasuk mereka yg tidak membaca langsung. Tidak sukar untuk kita fahami senario ini dengan membuat tinjauan mudah dikalangan orang sekeliling kita. Berapa orangkah yang ada membaca dua buah buku setahun?

Namun kita harus berterima kasih kepada teknologi maklumat kerana bahan bacaan tidak lagi bergantung harap kepada buku semata-mata. Kehadiran laman web, blog, media sosial, dan aplikasi berbentuk multimedia berjaya menyampaikan ilmu dengan cara yang berbeza dan mudah diterima. Walaupun kebanyakannya menjurus kepada bahan bukan ilmiah sekurang-kurangnya masyarakat sudah punya pilihan dalam mendapatkan maklumat.

Sekali lagi saya katakan bahawa kita tidak harus berpuas hati setakat itu sahaja kerana hasrat kita untuk muncul sebagai masyarakat yang mampu bersaing dengan masyarakat negara maju yang ada ketika ini. Kebimbangan sering dizahirkan para ilmuan tentang kurangnya tarikan kepada bahan bacaan ilmiah. Artikel di dada akhbar hanya dibaca golongan yang berminat. Blog yang membincangkan hal serius hanya dilayari oleh mereka yang ingin tahu. Paparan video yang menyentuh isu-isu penting dianggap hasil orang yang tiada kerja.

Perkara yang menarik perhatian adalah berkaitan artis, pelaburan untuk cepat kaya dan cara bagaimana untuk jadi cantik.

Bagi orang Islam, kita tentunya sedar wahyu pertama diturunkan adalah Iqra' yang bermaksud Bacalah! yang menunjukan peri pentingnya ilmu dalam memimpin kehidupan manusia sehingga mengetengahkan kewajipan menuntut ilmu.

Bacalah untuk kemajuan agama, bangsa, dan negara!

Bacalah supaya kita tidak jadi bangsa yang mudah terpedaya!

Saturday, November 13, 2010

Menang, Kalah, dan Kecewa

Seboleh-bolehnya saya tak mahu menulis lagi tentang PKR dalam masa terdekat ini tapi tidak dapat dielakkan kerana parti tersebut terlalu "glamor" ketika ini dan kebanyakan orang yang berminat atau sekurang-kurangnya ambil tahu hal politik semasa, banyak bercakap berkenaan serang menyerang ketika pemilihan rancak berlangsung.

Jujurnya saya sedikit kecewa dengan tindakan Datuk Zaid Ibrahim yang mengundurkan diri daripada persaingan dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden. Lebih kecewa lagi apabila beliau menyalahkan orang lain kerana tewasnya beliau dalam pemilihan terutama kegagalan merapatkan jumlah undi ketika cabang-cabang di Sabah menjalankan pemilihan. Walaupun sememangnya isu ketidaktelusan juga dibangkitkan oleh beberapa calon lain namun pengunduran berkenaan telah meranapkan harapan ahli yang mahukan persaingan yang sihat mengambil tempat dalam pemilihan dengan format yang baru ini.

Dari awal lagi, saya sebenarnya terkejut dengan hasrat beliau untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden kerana beliau merupakan orang baru dalam PKR namun dari segi meritnya, beliau punya kelayakan dan kredibiliti. Visi beliau jelas dalam usaha untuk melakukan reformasi dan transformasi terutama dalam mengembalikan konsep pemisahan kuasa di landasan yang betul. Walaubagaimanapun, seharusnya beliau menempatkan diri dalam jawatan yang kurang kanan berbanding dengan Timbalan Presiden seperti Naib Presiden dan saya percaya beliau layak dan boleh menang untuk jawatan tersebut. Timbalan Presiden terlalu tinggi untuk orang baru, walaupun orang baru itu adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Walaubagaimanapun saya cukup teruja dan tertarik apabila pencalonan yang diterima beliau untuk jawatan tersebut begitu tinggi yang mana menandakan ahli PKR tidak terlalu terkongkong dengan amalan konservatif. Mereka yang mencalonkan beliau tentunya menaruh harapan bahawa beliau merupakan salah seorang pemimpin yang boleh membawa perubahan kepada negara sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menempatkan diri di Putrajaya kelak. Pada saya dengan jumlah pencalonan berkenaan, Datuk Zaid Ibrahim telah menang besar dalam pengaruhnya dalam parti dan sekiranya beliau tidak terpilih menjawat jawatan Timbalan Presiden sekalipun beliau telah punyai pengikut dan penyokong tersendiri dalam parti yang percaya kepada kebolehan beliau. Dalam politik baru sekarang, pengaruh seseorang tidak bergantung pada jawatan beliau dalam parti melainkan parti itu bukan parti progresif yang masih terikat dengan budaya konservatif yang menyesakkan.

Sebagaimana Pas, Pengaruh Datuk Nik Aziz lebih besar dan dilihat gerakannya dipimpin oleh Salahudin Ayub, salah seorang Naib Presidennya. Bagi PKR pula, jika kesemua pemimpin kanannya mempunyai kekuatan masing-masing adalah menjadi satu kekuatan yang besar seperti sebuah jet pejuang yang dilengkapi pelbagai jenis senjata. Boleh bertempur di udara juga bertindak sebagai pengebom yang berbahaya namun jika masing-masing berebut untuk menjadi peluru berpandu, boleh menyebabkan pesawat meletup sendiri sebelum bertempur. Harapan akan lebur bersama debu sisa letupan.

Kesempatan kekalutan ini digunakan oleh pedendam-pedendam yang pernah menjadikan PKR sebagai platform mereka. Menyerang Ketua Umum PKR dan meminta beliau berundur. Saya bukan menyokong DS Anwar Ibrahim saya bersikap realis dalam pandangan saya. Saya tertanya siapakah DS Zahrain Hasyim dan Zulkifli Nordin jika mereka tidak bertanding atas tiket PKR pada pilihanraya umum lalu?

Pilihanraya umum sudah dibayangkan hampir tiba, parti dan gabungan yang masih belum bersedia akan tumpas. Barisan Nasional terutamanya UMNO nampaknya sedang bergerak megah terutamanya kesan momentum 4november.

Rakyat menunggu Harapan Baru, bukan Harapan Palsu!

Tuesday, October 19, 2010

Selamatkah Makanan Kita?

Sering kita dengar penyakit manusia kini berpunca daripada makanan. Kali ini saya tidak menjurus kepada perbincangan biasa tentang keburukan makanan segera dan kesan pengambilan makanan secara berlebihan. Mungkin sudah terlalu biasa dan barangkali sudah terlalu banyak tulisan berkaitan dua topik ini di dada-dada akhbar, juga di makalah yang menempatkan ruangan kesihatan. Kali ini kita bicara dari sudut yang luar pandangan biasa.

Nasihat dari pengamal perubatan kala ini menyarankan supaya kita melebihkan sayuran dan buah-buahan bagi menggantikan makanan yang memberi kesan kurang baik buat tubuh manusia. Makanan berlemak, manis dan mempunyai kandungan perisa tambahan lebih baik diganti dengan tembikai, limau madu, pisang, kobis, bayam, dan ulam-ulaman. Maka makcik-makcik dan kakak-kakak yang dalam proses menurunkan berat badan berbondong-bondong membeli ulam pegaga dan mencari pucuk jambu untuk dijadikan sajian tengahari dan malam menggantikan daging kari dan ayam masak lemak cili api.

Benar, pada asalnya sayuran dan buah-buahan lebih baik dari gulai dan steak tetapi pada masa kini penghasilan keluaran pertanian komersil telah banyak menurunkan kualiti makanan ini.

Penggunaan racun rumpai dan perosak secara tidak terkawal adalah sebab utama kepada pencemaran kualiti sayuran dan buah-buahan kita. Permintaan pasaran juga menyebabkan petani terpaksa menggunakan racun-racun ini bagi memastikan keluaran mereka memenuhi citarasa pengguna. Jika buah mangga mereka kelihatan seperti dirosakkan ulat atau larva dari serangga sudah tentu pulangan yang mereka terjejas dan kadang kala tidak dapat menampung kos pembajaan dan urusan penyeliaan ladang untuk pusingan tersebut. Situasi ini memaksa mereka menjaga penampilan komersil bahan keluaran mereka berbanding kualiti pemakanan makanan ini sekaligus memudaratkan kita sebagai pengguna.

Selain daripada itu, setakat ini sukar untuk badan bertanggungjawab untuk membuat pemantauan secara menyeluruh bagi memastikan penggunaan racun ini terkawal. Petani kadangkala tidak bertanggungjawab dengan membuat aktiviti meracun pada masa yang hampir dengan penuaian hasil malah ada yang dituai hasil selepas disembur racun pada hari sebelumnya. Jumlah racun yang terisisa masih tinggi dan boleh menyebabkan keracunan segera jika tidak dibasuh dengan baik.

Kini pelbagai alternatif telah diambil untuk memperbaiki keadaaan seperti percubaan untuk beralih kepada penanaman secara organik dan perlaksanaan Pengurusan Kawalan Perosak Bersepadu. Langkah baik tetapi masih bergerak terlalu perlahan kerana memerlukan kos yang tinggi dan permintaan yang kurang kerana harganya juga tinggi. Jadi buat masa ini, makanan yang lebih baik ini hanya mampu dimiliki oleh orang kaya tetapi golongan sederhana dan berpendapatan rendah juga boleh menikmatinya dengan cara yang berbeza. Caranya, tanam sendiri!



Tak perlu tanah yang luas juga tak perlu risau tentang pembajaan. Bagi mereka yang punyai halaman boleh sediakan tapak untuk menanam sayuran tetapi juga boleh ditanam didalam pasu. Bukan bunga sahaja yang boleh menceriakan halaman rumah tetapi sayuran juga boleh memberi suasana hijau malah boleh memberi manfaat kepada kita. Menjimatkan wang dan pastinya tidak perlu bimbang residu racun yang membahayakan kesihatan. Perkara yang mudah dilakukan untuk keluarga kita.

Masyarakat yang sihat dapat membangunkan negara!

Sunday, September 26, 2010

Orang Muda dan PKR

Selamat Hari Raya Aildilfitri, Maaf Zahir dan Batin!!..

Kita sudah berada lebih dari separuh bulan Syawal namun kemeriahan masih terasa dengan banyaknya rumah terbuka disini sana. Dengan itu juga, semakin jauh kita meninggalkan Ramadhan yang penuh berkat untuk tahun 1431 Hijrah. Dalam pada itu juga kemeriahan Syawal dihangatkan dengan proses pemilihan pimpinan PKR yang sedang berlangsung.

Pertama sekali, diucapkan tahniah kepada PKR kerana berjaya memulakan satu perubahan yang boleh dijadikan rujukan untuk sebuah parti politik dalam memilih kepimpinan. Saya tidak katakan sebagai contoh untuk diikuti kerana keberkesannya masih dalam peringkat percubaan namun dari segi prinsip demokrasinya, PKR didepan berbanding yang lain. Konsep seorang ahli satu undi dapat mengurangkan kemungkinannya berlaku sogokan dan peluang ahli biasa memilih pemimpin tertinggi mereka belum wujud lagi sebelum ini dalam mana-mana parti politik. Pemilihan kali ini penting bagi PKR kerana merupakan pemilihan bagi menentukan jentera penggerak bagi mengemudi usaha mereka bersama rakan Pakatan yang lain menuju ke Putrajaya.

Pada ketika artikel ini ditulis, pemilihan peringkat cabang(bahagian) sedang rancak berlangsung. Perlumbaan yang paling mendapat perhatian adalah pertandingan bagi merebut kerusi Timbalan Presiden yang dikosongkan oleh penyandangnya, YB Senator Dr Syed Husin Ali yang mengatakan sudah tiba masanya kerusi berkenaan diisi oleh tenaga yang lebih muda. Ada pendapat yang mengatakan bahawa sepatutnya beliau tidak berundur sebelum PRU13 bagi mengelakkan berlakunya keretakan dalam PKR, namun setiap keputusan pastinya telah diteliti sebaiknya oleh beliau sendiri.

Setakat ini juga, terdapat nama-nama besar yang tewas dalam pertandingan di peringkat cabang seperti Mustaffa Kamil Ayub yang tewas dalam perebutan Ketua Cabang Pasir Salak namun dicalonkan oleh cabang berkenaan untuk jawatan Timbalan Presiden oleh cabangnya itu. Tidak ketinggalan Exco Selangor, Elizabeth Wong tewas di Petaling Jaya Utara manakala Ahli Parlimen Teluk Kemang gagal merampas kerusi Ketua Cabang dari penyandangnya. Keputusan ini merupakan satu perkembangan yang menarik untuk diperbincangkan.

Namun apa yang lebih menarik minat saya adalah berkaitan dengan Angkatan Muda Keadilan. Bukanlah calon yang menjadi tarikan tetapi visi dan isu yang dibawa oleh calon-calon yang menyatakan kesediaan untuk bertanding itu merupakan satu pendekatan yang baik. Mereka cuba membawa isu yang dekat dan rapat dengan golongan muda ketika ini contohnya, keupayaan pemilikan rumah(hartanah), masalah muflis, pinjaman pelajaran dan peluang pekerjaan. Usaha untuk membawa isu ini adalah satu strategi politik yang baik kerana boleh membawa golongan rasa terpanggil untuk bersama-sama memperjuangkan isu tersebut dan seterusnya mendapat sokongan politik dari golongan muda. Pendekatan ini merupakan satu cabaran besar buat pemuda Barisan Nasional yang nampaknya belum lagi serius memikirkan masalah golongan muda ketika ini.

Golongan muda ketika ini berdepan dengan pelbagai isu terutama yang berkaitan dengan keperluan hidup. Bagi mereka yang baru mula bekerja, untuk memulakan hidup sebagai seorang dewasa ketika ini begitu mencabar kerana kos hidup yang begitu tinggi. Bagi graduan, selesai saja menamatkan pengajian mereka sudah punya tanggungan hutang pinjaman pelajaran, maka harus mencari pekerjaan secepat mungkin bagi mengelakkan tertunggaknya hutang yang bertambah. Mereka yang terus sahaja terjun ke dunia pekerjaan selepas tamat sekolah menengah atau sijil, mereka juga menghadapi masalah kerana pendapatan yang rendah. Seterusnya melangkah ke ambang perkahwinan yang juga memerlukan belanja yang besar dan kebanyakkan golongan muda terpaksa membuat pinjaman untuk melangsungkan perkahwinan. Terdapat sumber yang mengatakan, setiap tahun terdapat sehingga 30,000 golongan muda yang diisytiharkan muflis kerana hutang bank, kad kredit, dan perumahan.

Golongan muda yang pertengahan pula menghadapi masalah bagi mengembangkan perniagaan, pendapatan yang semakin menguncup kerana tanggungan yang bertambah, kenaikan harga barang keperluan, dan banyak lagi. Kebanyakan masalah ini adalah berkaitan dengan kos hidup individu dan keluarga yang tentunya berkait rapat dengan pengurusan ekonomi negara. Setiap keputusan yang dibuat kerajaan bakal memberi impak kepada masyarakat dan pastinya golongan bawahan dan pertengahan akan paling terkesan. Saya secara peribadi saya kurang bersetuju dengan usaha ketika ini untuk melaksanakan gaji minima kerana pelbagai faktor. Jika perkara ini mahu dilaksanakan, satu kajian mendalam perlu dilakukan kerana merupakan satu tindakan yang mungkin mendatangkan kerugian kepada kaum pekerja pada masa depan. Jika berkesempatan isu ini akan saya bincangkan pada masa akan datang.

Isu-isu yang dekat dengan golongan muda akan menarik golongan muda kepada pejuang-pejuang isu tersebut namun apa yang dihasratkan harus dikotakan. Itulah yang paling utama kerana orang muda mahukan hasilnya, bukan janji yang ditabur.


Tuesday, August 17, 2010

Dinar Kelantan


Kerajaan negeri Kelantan telah memperkenalkan Dinar sebagai alternatif kepada penggunaan wang yang biasa digunakan. Khabarnya beberapa buah pusat perniagaan di Kota Bharu telah bersedia untuk menerima Dinar dalam urusan jual beli. Saya percaya bahawa kerajaan negeri memperkenalkan Dinar ini atas tujuan yang baik namun itu sahaja tidak cukup. Tentunya saya percaya akan kebaikan penggunaan emas sebagai matawang dan sejarah penggunaan jelas.

Kerajaan pusat telah bersuara dan mengatakan bahawa cubaan untuk menggunakan Dinar adalah satu tindakan yang tidak sah dan bertentangan dengan Akta Bank Negara 2009. Walaubagaimanapun pandangan itu disambut berbeza oleh kerajaan negeri yang mengatakan bahawa Dinar bukan matawang tetapi sebagai tukaran untuk pembelian barangan. Namun, bagi saya yang kurang arif ini kedua-duanya kedengaran sama. Dinar mahupun RM kedua-duanya merupakan satu nilai gantian untuk membuat urusan jual beli. Kekeliruan dalam sistem kewangan boleh berlaku kerana wujudnya 2 jenis tukaran. Saya bimbang pihak yang mempromosikan politik baru juga bermain dengan permainan politik yang primitif kerana tindakan menggunakan istilah yang berbeza bagi menghalalkan cara sudah ketinggalan zaman. Perkataan yang berbeza mendukung makna yang sama tetap serupa, perbuatan yang buruk menggunakan perkataan yang lebih manis tidak berkurang jeleknya.

Menghormati bidang kuasa pihak lain adalah tanda keperadaban sesebuah masyarakat. Jika kita terus dengan permaianan ini, kita akan berundur kebelakang. Konsep federalisme perlu dihormati, pusat dan negeri harus mempertahankannya.

Saya tidak fikir pengenalan Dinar ini satu tindakan yang tepat.

Friday, July 9, 2010

BN - PR : Kerajaan - Pembangkang

Secara umumnya, rakyat Malaysia samaada tidak tahu atau sememangnya tak mahu ambil tau tentang perbezaan antara parti dan kerajaan. Istilah kerajaan dan pembangkang telah digunakan secara tidak tepat oleh kebanyakan media menyebabkan pengkisahan tentang parti politik, kerajaan dan konsep demokrasi kita kedengaran begitu melucukan.

Kita sudah terbiasa dengan menganggap BN adalah kerajaan dan parti diluar BN adalah pembangkang. Walaubagaimanapun janganlah sampai kita kedengaran begitu teruk dan kurang berilmu dengan menggunakan istilah "Kerajaan Pakatan Pembangkang". Tiada siapa pun boleh menjadi kerajaan dan pembangkang pada masa yang sama. Ya, BN pada ketika ini merupakan kerajaan persekutuan dan pembangkang adalah selain dari BN samaada Pas, DAP, PKR, ataupun bebas tetapi jangan pula kita lupa BN juga merupakan pembangkang di Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Penulis sentiasa berdepan dengan situasi ini dan ada juga dari kebanyakan rakan-rakan yang menganggap pembangkang seolah-olah suatu kumpulan yang akan merosak dan memporak-perandakan negara. Mereka tidak langsung sedar bahawa pembangkang merupakan entiti penting dalam sistem demokrasi. Penulis rasa tanggungjawab mendidik rakyat dan memperbetulkan persepsi masyarakat dalam hal ini boleh dilakukan dengan baik oleh media.

Barisan Nasional (BN) merupakan gabungan 13 parti yang diketuai UMNO. Parti-parti komponen lain adalah MCA, MIC, Gerakan, PPP, PBB, SUPP, PBS, LDP, PBRS, UPKO, SPDP, dan PRS. Pakatan Rakyat (PR) pula bukanlah sebuah parti rasmi sebagaimana BN tetapi merupakan pakatan 4 buah parti yang terdiri dari Pas, DAP, PKR, dan SNAP. Pada ketika ini kedua-dua gabungan ini bersaing dengan begitu sengit untuk mendapat kepercayaan rakyat untuk membentuk kerajaan.

Di Malaysia, terdapat 3 kerajaan. Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan. Buat masa ini pilihanraya dijalankan untuk memilih wakil rakyat bagi pembentukan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sahaja. Pemilihan untuk wakil Kerajaan Tempatan telah dihentikan suatu masa dulu. Bagi membentuk kabinet dan menguasai kerajaan di peringkat persekutuan, sesuatu parti atau gabungan parti mestilah mengusai majoriti di Dewan Rakyat. Bagi peringkat negeri, sesebuah parti atau gabungan parti mestilah mempunyai majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri untuk membolehkan Menteri Besar atau Ketua Menteri dilantik daripada kalangan mereka. Walaubagaimanapun, bagi kedua-dua kerajaan perlembagaan/undang tubuh negeri tidak menyebut parti tetapi individu yang mendapat sokongan majoriti.



Wednesday, July 7, 2010

Benarkah Kerajaan Tak Buat Apa-apa Untuk Rakyat?

Masyarakat Malaysia semakin kritis terhadap segenap aspek kehidupan. Sesuai dengan perubahan gaya hidup dan peningkatan kualiti perkhidmatan yang wujud, masyarakat Malaysia sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk mereka. Selaras dengan perkembangan ini, tuntutan kepada perkhidmatan dan kemudahan semakin meningkat.

Di Malaysia kebanyakan perkhidmatan dan kemudahan adalah berkaitan dengan kerajaan dan nampaknya kerajaan yang sedia ada terus mahukan senario ini berterusan untuk mengekalkan kebergantungan rakyat kepada kerajaan. Mungkin ada pertimbangan yang baik untuk diteruskan namun pada saya - dengan perubahan sosiologi masyarakat ini - boleh memberi kesan negatif kepada kerajaan. Kegagalan memberikan kemudahan dan perkhidmatan yang diperlukan akan menyebabkan rasa kurang senang kepada kerajaan.

Ketika ini, sudah ada yang berkata "Kerajaan tak buat apa-apa untuk rakyat". Benarkah begitu?

Cuba kita lihat;

1. Seorang ibu yang mahu melahirkan anak di hospital kerajaan - Perkhidmatan doktor, ubatan, dan segalanya di hospital menggunakan bantuan kewangan dari kerajaan.

2. Anak yang baru dilahirkan, disyaratkan untuk membuat suntikan pelalian - Percuma? Tentunya bantuan kerajaan.

3. Bayi sudah menjadi kanak-kanak dan perlu ke sekolah. Belajar di sekolah bantuan kerajaan hanya memerlukan bayaran yuran yang minimum - Peringkat rendah 6 tahun, menengah 5 tahun.

4. Pengajian peringkat tertiari. Pelbagai jenis pengajian disediakan dari Institut Kemahiran sehinggalah ke peringkat Doktor Falsafah malah ada juga yang mendapat tajaan untuk ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran.

5. Untuk kehidupan seharian, pelbagai subsidi dari kerajaan dari beras sehinggalah ke bahan api untuk kenderaan.

6. Bagi rakyat yang kurang berkemampuan, disediakan juga pelbagai bantuan termasuklah bantuan kebajikan, projek perumahan dan bantuan peningkatan ekonomi.

7. Dibawah projek pembangunan pula, pelbagai usaha dilakukan bagi menaiktaraf ekonomi masyarakat terutama di kawasan luar bandar dengan bantuan projek pertanian, perlancongan, IKS dan pelbagai lagi.

8. Belum lagi disenaraikan kemudahan asas yang disediakan oleh kerajaan seperti jalanraya, jambatan, elektrik, bekalan air, dan lain-lain.

Perkara-perkara ini hanya merupakan sebahagian dari usaha-usaha kerajaan. Jadi untuk mengatakan pihak kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk rakyat sama sekali tidak benar. Namun sekali lagi, suka diingatkan rakyat semakin memilih kerana mereka mahukan yang terbaik. Bukan mereka tidak mengenangbudi tetapi mereka merasakan adalah menjadi hak mereka untuk memilih siapa yang lebih layak menjadi kerajaan dan memberi perkhidmatan kepada mereka. Ini merupakan tanda bahawa pemikiran politik rakyat semakin matang.

Jadi mungkin sudah tiba masanya pihak kerajaan bertindak membuka peluang kepada pihak lain untuk menyediakan perkhidmatan daripada menjadi penyedia perkhidmatan itu sendiri. Kita sedia maklum, persaingan penyedia perkhidmatan akan menguntungkan pengguna sepertimana persaingan Maxis, Celcom, Digi dan lain-lain. Pada masa depan kita akan dapat menikmati perkhidmatan yang lebih berkualiti dengan harga yang lebih murah.

Thursday, July 1, 2010

Pemisahan Kuasa - Ke Arah Pentadbiran Lebih Baik


Pengumuman terbaru oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor tidak lagi memegang jawatan sebagai pengerusi pimpinan negeri dan beliau diganti oleh YB Azmin Ali manakala kekosongan yang ditinggalkan oleh YB Azmin dipertanggungjawabkan kepada Datuk Zaid Ibrahim.

Ada pandangan yang mengatakan pertukaran tersebut adalah satu kompromi politik dan ada pula mengatakan bahawa isu tersebut merupakan petanda bahawa kepimpimpinan Menteri Besar diragui oleh parti beliau sendiri. Perkara tersebut timbul selepas desas-desus bahawa sebilangan ahli dewan rakyat PKR mahukan Tan Sri Khalid berundur dari kerusi Menteri Besar. Ramai juga pihak mengatakan bahawa kini Selangor ibarat kapal yang punya dua nakhoda yang seterusnya bakal mencetuskan kekalutan besar.

Sudah adat di Malaysia, jika pihak disini menuduh pasti pihak disana akan menyangkalnya. PKR menafikan wujud usaha menjatuhkan Menteri Besar dan pertukaran tersebut bukanlah seperti yang didakwa malah mengatakan bahawa pertukaran pengerusi negeri merupakan urusan pentadbiran biasa. PKR menyatakan bahawa pentadbiran parti dan pentadbiran negeri seharusnya dikendalikan oleh pemimpin yang berbeza bagi mengelakkan pemusatan kuasa dan konflik kepentingan. Mereka mahukan Selangor memulakan pembaharuan ini dan dijadikan sebagai contoh kepada pentadbiran masa depan. Idea ini merupakan idea segar dan menarik.

Jika PKR mengatakan bahawa mereka yang memulakan gaya pentadbiran tersebut saya fikir tidak tepat kerana UMNO telah dulu melakukan perkara ini. Menteri Besar Perlis dan Terengganu bukan pengerusi perhubungan negeri namun perkara itu terjadi akibat wujudnya krisis di negeri tersebut. Jadi, perkara itu tidak membawa kepada maksud untuk mengelakkan pemusatan kuasa dan konflik kepentingan namun kedua-dua parti nampaknya berada dilandasan yang baik untuk perubahan ke arah kebaikan.

Selain itu dengan gaya pentadbiran ini, boleh memperjelaskan kepada masyarakat betapa parti dan kerajaan adalah dua entiti berbeza.


Monday, June 28, 2010

Ribut Dalam Cawan

Sejak PRU 12 pada 2008, kekalutan politik masih beterusan tanpa titik nohtahnya. Politik pertentangan terus-terusan membawa masyarakat dari satu babak ke satu babak dengan penuh kejutan dan dramatik.

Tamat pada semalam, sebuah parti politik yang dulunya memiliki kerusi paling banyak di dewan rakyat selesai membuat permukiman untuk persediaan pilihanraya akan datang namun bukan perkara itu yang paling hangat diperkatakan tetapi adalah isu adanya komplot untuk menjatuhkan Menteri Besar Selangor. Benar atau tidak kita akan ketahui dalam masa yang terdekat ini.

Walaubagaimanapun saya tidak akan menulis tentang sebarang andaian tentang spekulasi itu. Apa yang kita akan cuba lihat adalah impak sekiranya cubaan tersebut benar.

Imej PKR sebagai sebuah parti sekarang ini sudah begitu tercemar dengan isu keluar parti. Paling parah dengan berubahnya pentadbiran kerajaan di negeri Perak. Setelah berlakunya peristiwa tersebut, lebih ramai lagi yang seorang demi seorang pemimpinnya sama ada memegang kerusi dewan rakyat, DUN, atau pemimpin parti biasa mula meninggalkan parti. Alasannya pelbagai dan ada variasi setiap seorang.

Kini, keruh semakin gelap dan pekat. Isu menggulingkan Menteri Besar pula timbul. Daripada bual-bual kosong dengan rakan-rakan, ada yang semakin muak dan jelik dengan tingkah laku pemain politik ini sehingga ada yang mengatakan "Sudah tiada siapa yang boleh diharapkan!". Bagi rakan-rakan yang sememangnya dari dulu tidak setuju dengan parti ini mereka bagai mendapat kemenangan puas dengan berkata "Mereka memang nak gunakan rakyat sahaja". Kadang kala sudah tiada apa lagi yang boleh diperkatakan. Bak harimau sudah mula menunjukkan belangnya kerana sudah lama berpura-pura menjadi anak kucing manja.

Jika perkara ini berlaku, saya yakin dan percaya orang muda yang menjadi kekuatan parti ini pada PRU12 mula akan menjauhkan diri dari parti yang melaung-laungkan mentera reformasi yang sekarang ini nampaknya ditentang oleh orang-orang mereka sendiri.

Berebutlah sekarang dan rakyat akan meninggalkan kamu nanti!

Friday, June 18, 2010

Meraikan Tetamu, Hormati Tuan Rumah

Biar mati anak jangan mati adat

Biasa kita dengar pepatah lama ini yang mana mengingatkan kita betapa orang Melayu mementingkan adat resam. Orang Melayu dahulu terutamanya di kampung-kampung begitu mengambil berat tentang adat resam yang telah lama diamalkan, menjadi khazanah berharga buat mereka. Setibanya Islam kepada masyarakat Melayu mencetuskan asimilasi baru. Masyarakat Melayu mula meninggalkan adat resam yang bertentangan dengan ajaran Islam namun proses ini mengambil masa yang lama. Tiada lagi 'lenggang perut' dan tiada lagi 'pemujaan pantai' dan boleh dikatakan kebanyakan generasi muda tidak pernah mendengar amalan-amalan ini apatahlagi melihat upacara ini dijalankan.

Adat Pusaka Warisan Bangsa yang menunjangi budaya sesebuah bangsa memperlihatkan bagaimana ketamadunan bangsa itu terbentuk. Kali ini kita berbincang tentang tetamu dan tuan rumah.

Sudah menjadi amalan biasa kepada masyarakat Melayu meraikan tetamu yang datang berkunjung. Sesuai dengan tuntutan Islam yang menuntut tetamu dilayan dengan baik, sehinggakan meraikan tetamu dijanjikan dengan ganjaran yang cukup besar. Kita cukup sinonim dengan perkara ini.

Bagaimana dengan tetamu?

Apabila kita bertandang ke rumah orang kebiasaannya tuan rumah memberitahu kehadiran kita dialu-alukan dengan ucapan selamat dan kedantangan adalah dinanti-nantikan. Tuan rumah juga biasa berkata "Buatlah macam rumah sendiri" menggambarkan suasana mesra dan mengharapkan tetamu selesa. Apakah ini merupakan tanda bahawa tetamu boleh buat sesuka hati mereka? Tentu tidak, bukan?

Begitu juga jika datang ke negeri orang. Tetamu seharusnya menghormati tuan rumah. Jika tidak, kemana pula Melayu yang kita perjuangkan itu? Tentu tiada salahnya jika memberi sedikit penghormatan kepada tuan rumah sungguhpun dia merupakan saingan kita. Pada saya jika perkara ini berlaku, masyarakat umum akan memandang pihak penganjur telah menjangkau satu ketamadunan politik baru yang darjatnya jauh lebih tinggi dari politik persengketaan. Mungkin juga masyarakat percaya bahawa keikhlasan yang dipamerkan adalah satu usaha murni untuk bersama-sama antara kedua-dua kerajaan untuk kepentingan rakyat dan bukannya untuk meraih sokongan mereka.

Seharusnya masyarakat kita tahu santun susila, adat bertandang ke rumah orang. Perkara yang disebutkan ini bukanlah teguran tapi satu peringatan bersama untuk semua. Masyarakat kita seakan lupa cara menghormati orang lain kerana persaingan dalam mencapai sesuatu tujuan. Kita menghalalkan semua perkara dan membelakangkan isu moral dan kemasyarakatan.

Budi Bahasa Budaya Kita


Saturday, May 22, 2010

Sibu Buat Kejutan - Amaran Awal Pilihanraya Negeri


Keputusan Pilihanraya Kecil Sibu pada 16 Mei lalu menimbulkan pelbagai reaksi. Pada pihak Barisan Nasional tidak banyak yang diperkatakan kecuali tentang perlunya kajian tentang kekalahan. Mencari di mana silapnya adalah penting untuk menyusun strategi kempen pada masa depan. Pakatan Rakyat pula kebanyakannya melahirkan rasa terkejut namun gembira dengan keputusan yang agak lewat diumumkan itu. Keputusan rasmi hanya diumumkan lebih kurang jam 11 malam tersebut.

Kita sedia tahu bahawa Sarawak akan menghadapi Pilihanraya Negeri dalam masa terdekat ini dan ada yang menjangkakan akan diadakan pada penghujung tahun ini namun semuanya terletak pada keputusan Ketua Menteri Sarawak yang popular itu untuk memohon pembubaran dewan. Pentingnya Sibu kepada parti bertanding adalah sebagai gelanggang pemanas badan sebelum bersingsing lengan dalam PRN nanti dan nampak gayanya Pakatan Rakyat sudah memberi gambaran awal bahawa saingan hebat akan berlaku seperti mana Chelsea dan Man United terpaksa berjuang sehingga ke perlawanan terakhir untuk menentukan siapa yang akan menggenggam trofi juara liga premier.

Ada suara dari kalangan pemimpin Pakatan Rakyat mengatakan bahawa Tsunami Politik Semenanjung telah sampai ke Sarawak namun biasalah kenyataan-kenyataan retorik seperti inilah yang membawa harapan penyokong dan kadang kala boleh memancing undi golongan atas pagar. Oleh sebab itu serangan balas harus dilakukan, seperti biasa kedengaranlah perkataan-perkataan seperti terdesak, pengkhianat, kehabisan modal, dan penipu atau pembohong. Perkara ini bukan berlaku di satu pihak sahaja tetapi tidak mengenal parti mana sekalipun. Perang psikologi ini sangat penting.

Kerana istimewanya Sibu kita cuba lihat bagaimana DAP boleh memenangi PRK Sibu. Pertamanya kita jengah polarisasi kaum pengundi di Sibu. Daripada 54,695 pengundi berdaftar 66% pengundi adalah berbangsa Cina, Iban 22.5%, Melayu Melanau 10.5%, dan selebihnya adalah kaum-kaum lain. Perlunya kita meneliti perkara ini kerana sentimen pengundian adalah berbeza mengikut kaum. Kemenangan DAP dikabarkan adalah atas undi Cina dan Melayu Melanau. Berbanding dengan PRU 2008, didapati ada peralihan sokongan kepada DAP dari BN. Bagi pengundi Cina mungkin boleh kita jelaskan buat masa ini sokongan mereka masih kepada pembangkang namun bagi Melayu Melanau mungkin ada sesuatu isu yang menyebabkan mereka memilih untuk mengalihkan sokongan.

Menurut Pengasas Zentrum Future Studies, Dr Abu Hassan Hasbullah pula, keajaiban yang berlaku di Sibu lebih banyak dipengaruhi oleh kebangkitan pengundi muda yang liberal. Sememangnya pengundi muda dikatakan sebagai pengundi yang tidak terikat kepada mana-mana parti tetapi akan memberikan undi kepada parti atau individu berdasarkan kepada keadaan semasa. Kebanyakan mereka juga tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti. Dr Abu Hassan juga menegaskan "Dalam kes Sibu, pengundi mula berfikiran, apa salah menerima mesej BN ketika kempen tetapi relatif untuk memilih PR kerana percaturan untuk pilih korupsi, kekayaan atau anti korupsi dan keamanan, di sinilah sikap liberal relatif ini amat baik kerana, bagi saya, ia dari pemikiran Islam". Pemuda Baru melihat bahawa pengaruh PAS dalam perubahan pemikiran ini adalah signifikan.

Walaubagaimanapun, setiap pilihanraya ada ceritanya dan berbeza pula pemenangnya. Kalah di Sibu buat BN bukan beerti akan tumpas di PRN nanti dan begitulah sebaliknya kepada PR. Kepada sesiapa yang sebelum ini berfikiran bahawa kejayaan BN di Hulu Selangor memberi jalan mudah buat BN di Sibu akan terfikir bahawa begitu uniknya dan pragmatisnya politik negara kita selepas PRU12. Bagi Pemuda Baru, ini memberi banyak kebaikan kepada rakyat kerana parti politik harus bekerja keras untuk mendapat kepercayaan rakyat.

Ucapan selamat buat dunia politik Malaysia!

Thursday, April 29, 2010

Kerja Dengan Selamat


Berapa ramai antara kita yang tahu bahawa adalah menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang jika kita mengabaikan keselamatan semasa bekerja? Saya pasti juga tidak ramai yang tahu perlunya wujud langkah-langkah keselamatan yang tersusun di tempat kerja.

Jika mempunyai sebuah syarikat yang mempunyai pekerja lebih dari 5 orang pekerja, adakah ada satu kenyataan bertulis Dasar Keselamatan dan Kesihatan diwujudkan? Jika tidak, jika disabitkan kesalahan anda boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimana pula dengan “Safe Operating Procedure”? Adakah latihan keselamatan dijalankan?

Keperluan-keperluan ini adalah sebahagian daripada kehendak Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Pelanggarannya adalah satu kesalahan jenayah.

Tentu ramai yang tertanya-tanya adakah perlu wujudnya satu undang-undang yang mewajibkan masyarakat mengamalkan cara kerja yang selamat? Bagi saya, sudah tentu. Kes-kes kemalangan samaada kemalangan maut, hilang upaya kekal, dan tidak hilang upaya kekal secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan. Tentu kita tidak mahu sama ada diri sendiri, keluarga, saudara mara, atau sahabat kita terlibat dalam kemalangan di tempat kerja. Pergi dalam keadaan sempurna dan pulang kerumah tanpa sebarang kekurangan.

Industri Pembuatan, Pembinaan, Pertanian, dan Pembalakan merupakan antara penyumbang terbesar kepada statistik kemalangan di Malaysia. Sudah ramai yang hilang jari, tangan, kaki, malah nyawa. Ramai juga yang terus hilang upaya dalam keadaan lumpuh kerana kegagalan semua pihak. Sudah tentu kita tak mahu perkara ini berlaku.

Dalam masyarakat kita sekarang, keselamatan merupakan sesuatu yang ‘mewah’. Dalam perniagaan, untung diutamakan dan aspek keselamatan akan diambil kira sekiranya ada lebihan keuntungan. Tidakkah kita sedar bahawa pekerja adalah aset kepada sesebuah tempat kerja? Sebarang kejadian yang tidak diingini akan menyebabkan kos tersembunyi yang banyak, ketidakhadiran, dan meninggalkan kesan psikologi negatif kepada pekerja.

Amalan kebiasaan masyarakat kita juga harus diperbetulkan. Kita tidak mahu lagi melihat Pak Ali hanya memakai kain pelikat meracun rumput di halaman rumah. Kita juga harap Samad tidak memperbaiki bumbung rumah seperti lagak Spiderman. Mak Temah juga pakailah jaket keselamatan kalau nak keseberang menaiki bot.

Kita mampu berubah...

“Utamakan Keselamatan!” di samping “Pencapaian Diutamakan”

Wednesday, April 28, 2010

Kalah dan Menang

Keputusan Pilihanraya Kecil Hulu Selangor kita sudah tahu, tetapi macam biasalah pada pihak yang kurang mendapat undi akan membuat andaian dan kajian tentang kekalahannya. Lebih menyedihkan banyak episod menuding jari malah juga dipihak yang menang. Pihak yang berjaya menempatkan calonnya di Dewan Rakyat, boleh tersenyum lebar hasil penat lelah berkempen 8 hari 8 malam.

Pertamanya, tahniah buat P. Kamalanathan dari BN yang berjaya dipilih oleh kuasa majoriti sebagai wakil rakyat bagi Parlimen Hulu Selangor. Buat Datuk Zaid Ibrahim, sebagai seorang tokoh yang mendokong demokrasi tulen dan keadilan sejagat saya percaya Malaysia memerlukan idea dan tenaga beliau.

Menang dan kalah dalam sesebuah pilihanraya boleh dilihat dari pelbagai perspektif. Saya tidak mahu membuat analisis sokongan pengundi kerana banyak pihak telah membuat analisis tentang pilihanraya ini. Antara yang menarik di becok.blogspot.com, bolehlah terus ke halaman ini untuk analisis tersebut. Disini kita bercakap tentang imej. Mendapat undi terbanyak juga kadangkala bukan menandakan kemenangan. Mengapa? Menang undi di sesebuah pilihanraya kadang kala merosakkan imej sesebuah parti dan calon di luar kawasan pengundian dek cara kempen yang melampau.

Seorang rakan berkata kepada saya, pembangkang yang dulu menyerang dan mengkritik BN kerana calon tidak bersih sekarang terpaksa mencalonkan seseorang moralnya diperkatakan kerana calon itu popular dan berpotensi untuk menang. Saya yakin beliau cuba memberitahu bahawa pembangkang tidak boleh dipercayai kata-katanya. Adakah beliau cuba memberitahu BN adalah sebaliknya? Mereka adalah politikawan yang mana harus punya keupayaan bercakap lain pada pagi dan lain pada petangnya. Jika tidak masakan seorang tokoh politik besar berkata “Dalam perang,cinta, dan politik semuanya dibolehkan”.

Kita lihat perkara yang timbul dipermukaan sepanjang kempen. Mulakan dengan calon-calon bertanding.

Calon BN berjaya memperlihatkan diri kepada umum bahawa beliau seorang yang mempunyai cara komunikasi dan perhubungan awam yang baik. Kredit kepada beliau kerana Bahasa Melayu beliau baik, dan kemahiran ini juga boleh menimbulkan rasa senang pengundi Melayu kepada beliau. Beliau juga kelihatan tidak menyerang peribadi calon lawan. Urusan itu dilakukan oleh pihak lain.

Calon PKR juga membuat langkah berani dan begitu signifikan dengan mengakui tuduhan-tuduhan pihak lawan dengan menyatakan itu merupakan kesalahan lampau. Beliau telah memperlihatkan imej yang begitu lutsinar yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh kebanyakan politikawan. Langkah beliau ini mengukuhkan jenama beliau sendiri tanpa perlu bergantung kepada jenama PR yang tentunya tidak begitu popular ketika ini terutamanya PKR.

Kedua-dua calon bebas yang menarik diri, maaf saya katakan imej mereka tercalar teruk.

Parti bertanding...

Di pihak Barisan Nasional, masyarakat sedar bahawa BN memberikan tumpuan penuh kepada pilihanraya kali ini. BN kelihatan bersungguh-sungguh benar untuk menang dalam pilihanraya kali ini. Kesungguhan ini merupakan satu yang baik dan satu usaha yang boleh dipuji namun dalam keterujaan itu, beberapa tindakan yang merosakkan imej BN secara umum harus diambil perhatian. Kemunculan pelbagai projek dan janji membuatkan masyarakat bercakap-cakap dan ada yang berharap ada PRK ditempat mereka juga. Apapun kemenangan memperkukuhkan jenama BN buat masa ini.

PKR! Semakin hari semakin kelabu dan kusut wajah parti ini. Sepanjang tempoh kempen Pesta Keluar Parti berlangsung dengan begitu meriah sekali. PKR perlu segera memperbaiki hal ini dengan membuat program pengukuhan parti kerana ahli sudah seperti anak ayam kehilangan induk. Biar apapun alasan dan sebab yang diberikan, keadaan ini perlu diperbaiki kerana hanya segelintir yang mahu mencari dan percaya bahan dari pelbagai sumber. Bagi yang hanya menonton tv dan membaca surat khabar tentunya tergambar bahawa PKR hampir berkecai. Walaubagaimanapun, kejayaan PKR menidakkan undi kumulatif majoriti 6000 dari ketiga-tiga DUN di bawah Parlimen Hulu Selangor pada PRU12 juga merupakan kemenangan yang boleh diraikan.

Tahniah kepada yang menang dan kalah.
Takziah kepada yang kalah dan menang.

Monday, April 26, 2010

Penerbangan Anda Ditunda

Minggu lalu, letusan sebuah gunung berapi di Iceland menyebabkan ribuan penerbangan tergendala. Kebetulan pula minggu lalu saya secara tidak sengaja telah menonton rencana di tv tentang bagaimana sebuah kapal terbang nyaris terhempas dek keadaan yang tidak dapat diketahui puncanya. Pengalaman tersebut diceritakan sendiri oleh Kapten juruterbang tersebut bersama krewnya yang lain dan juga beberapa orang penumpang.

Keempat-empat enjin kapal terbang malang tersebut tidak berfungsi dan kemudiannya terbakar. Cermin hadapan tercalar teruk dan kebanyakan bahagian luar kapal juga mengalami keadaan yang sama. Cahaya berkilauan muncul semasa penerbangan tersebut yang menyebabkan krew tertanya-tanya apa yang berlaku.

Siasatan selepas kejadian mendapati puncanya adalah debu gunung berapi.

Kesan dari debu dari letusan pada 16 April 2010 lalu menyebabkan kerugian berjuta-juta pound kepada syarikat-syarikat penerbangan seluruh dunia terutama di Eropah. Kecanggihan dan kehebatan ciptaan manusia terbukti tidak sedikitpun boleh menyaingi ciptaan Allah.

Thursday, April 15, 2010

Pra Kempen Hulu Selangor - BN Ketinggalan

Cuaca panas yang melanda negara ketika ini tak mungkin dapat menandingi panas di Hulu Selangor. Penamaan calon akan diadakan pada 17 April manakala hari pembuangan undi pada 25 April. Kehangatan mula terasa apabila kedua-dua pemimpin dari kedua-dua pihak mula mengadakan majlis-majlis pertemuan dengan masyarakat setempat untuk meninjau bagi mendapatkan gambaran awal tentang sentimen masyarakat Hulu Selangor ketika ini sambil menyentuh jiwa mereka dengan harapan mendapat undi. Tak perlu pertikaikan apa-apa kerana mereka memang ahli politik.

Macam biasalah, pelbagai suara dan pandangan yang kedengaran sebelum seseorang calon ditetapkan tak kiralah di pihak mana namun perkara penting adalah bagaimana parti menguruskan pandangan-pandangan ini kerana tentunya akan memberi kesan kepada persepsi rakyat. Bagaimana? Mari kita tengok siapa yang kena...

Di pihak BN, pada mulanya parti paling dominannya UMNO terutama bahagian Hulu Selangor telah menyatakan hasrat untuk bertanding. Rakan mereka MIC juga berminat untuk mempertahankan kerusi yang telah lama menjadi milik mereka sebelum dirampas oleh calon PKR pada Pilhanraya Umum ke-12. Beberapa hari isu ini menjadi perbualan masyarakat namun dengan bayangan awal oleh Timbalan Presiden UMNO bahawa BN mungkin akan calon MIC, ahli parti mula akur kerana pada ketika ini perpaduan dalam parti dan taat setia penting dalam menghadapi lawan yang telah menubuhkan kerajaan di Selangor dua tahun lepas. Ini merupakan sesuatu yang baik. Pengesahan sendiri tentang ketetapan berkenaan dibuat oleh Pengerusi BN meredakan ketegangan, tenang seperti selepas hujan .

PR pula macam mana? Dari awal pemimpin mereka telah menyatakan persetujuan untuk PKR meletakkan calon di Hulu Selangor. Tiada tuntutan dari PAS sepertimana berlaku sebelumnya. Situasi ini kelihatannya memberi kelegaan kepada penyokong PR. Tiada siapa bercakap, mungkin ada juga tak berpuas hati tetapi kerana tiada pemimpin yang bersuara tentang ini maka dianggap sebagai keputusan bersama. Tiada kredit yang tinggi kepada PR pada tahap ini kerana BN juga telah menetapkan pemimpin MIC sebagai calon namun lebihnya PR tidak berlaku perbalahan awal.

Kembali kepada BN..
Sayangnya tenang tak lama, ribut kembali mengambil tempat. Bukan UMNO tak mahu beralah tapi isu lain pula yang timbul. Isunya, pemimpin MIC yang mana layak dicalonkan dan bertanding dengan logo dacing. Hangat di media mengatakan bahawa UMNO tidak menyokong pemimpin yang dikatakan dicalonkan oleh MIC. Kini perbahasan hangat adalah antara orang muda dan orang lama. Seperti yang dilaporkan portal Malaysiakini, Pengerusi Pemuda BN mengatakan masyarakat Hulu Selangor mahukan calon muda kali ini menjawab kepada desakan dari 18 Ketua Bahagian MIC Selangor yang mahukan pengesahan pemimpin no-2 mereka sebagai calon BN. Pertelingkahan ini gambaran yang tidak baik kerana masyarakat memandang komponen BN tidak sepakat. Walau apa sekalipun, kita tunggu nama calonnya nanti.

PR?
Ketika PR telah menamakan Dato' Zaid Ibrahim sebagai calon mereka, pertikaian dalam BN belum selesai. Masyarakat melihat pengurusan PR tampak lebih teratur dan bergaya kali ini. Mungkin kerana mereka merancang rapi, tahu akan PRK kali ini bukan sesuatu yang mudah dan keputusan kali ini boleh dikatakan sebagai petunjuk penerimaan rakyat Selangor kepada kepimpinan Tan Sri Khalid. Apa pun, mereka berjaya menempatkan diri di depan BN dalam persaingan awal ini.

Pra Kempen Hulu Selangor
BN 0 - 1 PR

Wednesday, April 14, 2010

Setahun Jagung

Setahun Jagung! Mungkin biasa kita mendengar peribahasa ini digunakan oleh seseorang yang mana tujuan tidak lain untuk memperlekehkan dan merendahkan keupayaan orang yang lebih muda. Bagi orang bergiat dalam bidang pertanian tentunya tahu pada masa ini jagung tidak lagi perlu pada masa yang bertahun untuk matang dan membuahkan hasil. Dalam masa setahun jagung sudah boleh ditanam 4 kali. Selaras dengan perubahan maksud kepada peribahasa ini tersasar dan mungkin juga sudah tidak relevan sekarang. Peribahasa yang membawa konotasi negatif ini sentiasa dilemparkan kepada golongan belia oleh golongan yang merasakan diri mereka sendiri mempunyai lebih keupayaan. Adakah ini benar atau prejudis terhadap belia?

Saya masih ingat pesanan dari orang yang saya anggap sebagai mentor saya yang mengatakan, "Ilmu boleh dicari dimana-mana tapi pengalaman mesti dilalui". Saya percaya kepada pesanan ini seterusnya membawa kepada rasa hormat yang tinggi saya kepada generasi yang lebih berpengalaman tapi sekali lagi sejauh mana kebenaran apa yang diperkatakan ini? Saya percaya bahawa jelas dari ungkapan tersebut beliau memberitahu dalam dunia siber tanpa sempadan serba canggih hari ini tiada lagi kekangan capaian kepada sebarang ilmu. Bagaimana pula dengan pengalaman? Ya, saya setuju pengalaman perlu kita lalui tetapi tidak bolehkah kita belajar dari pengalaman orang lain yang pasti mengajar kita sesuatu? Sesuatu yang baik untuk difikirkan tetapi suka saya jelaskan kesan daripada pengalaman yang dilalui sendiri berbanding pengalaman yang dikongsi bersama tentunya berbeza...

Berbalik kepada mudahnya kebolehcapaian ilmu pada masa kini. Dengan wujudnya kepelbagaian sumber ilmu, tiada siapa dengan mudah boleh mengatakan ketinggian ilmu seiring dengan usia seseorang. Jika kita masih berada pada era surat khabar dan radio merupakan media yang berpengaruh dulu, kita boleh dengan yakin berkata Ya! namun tidak lagi. Dunia berubah dengan pantas dan sesiapa yang leka akan dihanyutkan dan mungkin tenggelam terus dalam gelombang globalisasi yang telah merapatkan jurang hubungan yang dipisahkan oleh benua dan mendekatkan seseorang dengan informasi segera yang boleh diperolehi dengan semudah satu klik.

Perasaan prejudis dan tidak percaya kepada keupayaan belia masih berakar umbi dalam masyarakat kita pada masa ini. Saya tertarik dengan tulisan Norizan Sharif dalam bukunya Tunggu Apa Lagi? tentang betapa beliau tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah ahli sebuah parti politik di Malaysia ini memperlekeh dan memperkecilkan seorang belia yang menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan kedua tertinggi dalam parti. Tidak sukar kita memahami perkara ini kerana suasana ini berlaku dalam setiap organisasi bahkan begitu ketara dalam organisasi pekerjaan. Idea pekerja-pekerja senior selalu kedengaran lebih baik kerana usia penyampainya, bukan kerana hebatnya idea itu malahan kadangkala pandangan pekerja-pekerja golongan belia dianggap tidak relevan dengan anggapan tidak sesuai kerana sudah selesa dengan amalan lama juga kerana kononnya idea tersebut tidak matang.

Situasi ini tidak lain hanyalah penafian dengan melakukan penghakisan kepercayaan dan kredibiliti bagi menggagalkan suburnya persaingan sihat. Persaingan dalam bentuk ini boleh meningkatkan kecekapan, produktiviti, proses penyampaian , dan imej organisasi kepada pelanggan. Namun dengan adanya budaya tidak sihat dan jauh terkebelakang ini tidak memungkinkan masyarakat keluar dari kerangka lama yang melemahkan dan meruntuhkan aset yang seharusnya menjadi kekuatan kita. Senario ini pada pandangan saya bermula dari sistem pendidikan kita yang tidak menggalakkan untuk lahirnya produk-produk yang bersiap sedia dengan cabaran dunia masa kini. Tahap paling kritikal adalah pada peringkat pengajian tinggi kerana pada masa inilah senjata-senjata perlu diperlengkapkan kepada produk-produk ini sebelum menghadapi sepak terajang dalam dunia sebenar namun sistem pendidikan kita masih terarah kepada sistem berasaskan peperiksaan. Perkara ini akan saya ulas lebih lanjut dalam 'posting' akan datang.

Ketika ini Malaysia akan menghadapi 2 pilihanraya kecil , satu di Semenanjung iaitu Parlimen Hulu Selangor manakala Parlimen Bandar Sibu di Sarawak. Kedua-dua pilihanraya kecil kali ini tidak menimbulkan rasa tidak enak kepada saya kerana bukannya terpaksa diadakan atas sebab perletakan jawatan oleh wakil rakyat tetapi sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Dalam cakap-cakap sebelum penamaan calon oleh Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, pelbagai isu yang timbul menarik minat pelbagai pihak untuk memberikan pandangan namun keutamaan bagi kedua-dua organisasi politik ini adalah kemenangan.

Terbaru pemuda BN mahukan calon pemuda diletakan sebagai calon BN di Hulu Selangor yang pada saya ada asasnya bagi mengimbangi pengaruh PR ketika ini yang kelihatan sedang menjuari perjuangan dan aspirasi golongan muda. Tidak salah meletakkan calon yang berpengalaman tapi biarlah cara berfikir dan cara bekerja wakil rakyat tersebut diterima golongan muda. Orang kata "Biar tua asalkan jiwa muda!". Strategi ini penting untuk kedua-dua pihak yang mahu menempatkan pemimpin mereka di Dewan Rakyat, setidak-tidaknya untuk memenangi hati pengundi majoriti pada Pilihanaraya Umum yang akan datang.

Dalam menyusun strategi bagi merapatkan pengundi-pengundi muda ini, keupayaan media baru yang mempunyai pengaruh yang besar kepada mereka harus digunakan dengan sebaik mungkin. Parti dan individu yang berjaya membawa isu dan idea yang menarik minat mereka akan menjadi pilihan untuk diberi amanah menubuhkan kerajaan. Sesiapa yang gagal bersedialah untuk menjadi pembangkang, samaada di peringkat persekutuan mahupun di negeri. Bersangkutan dengan ini juga, ada suara-suara sumbang yang mengatakan golongan muda masih mentah dan sekali lagi Setahun Jagung menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan pembohongan. Sekali lagi suka saya ingatkan golongan muda lebih berinformasi dalam hal ini kerana mereka dekat dengan akses. Mereka tidak lagi menelan apa saja yang dihidangkan kepada mereka kerana juadah mereka telah pelbagai, maka mereka berhak memilih yang berkualiti.

Saya optimis bahawa negara kita bakal mewujudkan persekitaran yang sedia mengetengahkan suara golongan belia supaya idea-idea baru ini dapat memperbaharui wajah dan imej Malaysia. Perdana Menteri telah mengisyaratkan bahawa kita harus bergerak kepada ekonomi berasaskan inovasi sekiranya mahu keluar dari kelompok negara berpendapatan sederhana dan melonjak jauh menjadi negara berpendapatan tinggi. Kita perlu membudayakan ilmu dan bersedia untuk berfikiran kritis. Tenaga dan idea genarasi baru merupakan aset terpenting dalam usaha mengoptimumkan keupayaan modal insan yang sedia ada. Memperkecil dan memperlekehkan kebolehan golongan belia akan terus menyempitkan haluan kita dan berseleraknya batu penghalang dalam usaha kita mencapai tahap negara maju yang kita impikan. Cabaran begitu besar, beban begitu berat yang bakal muncul.

Ayuh Belia Malaysia... Kita harus buktikan sesuatu!!!